Published on 28 June 2020 by Astro Awani and Ashran Dato' Ghazi in News Coverage
KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia dilihat tidak akan bertoleransi terhadap penularan pandemik COVID-19.
Menerusi tinjauan yang dilakukan firma kajian kepenggunaan, Dattel Asia, kesediaan rakyat Malaysia dalam melakukan aktiviti harian masih rendah.
Kajian melibatkan 1,200 responden itu sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia lebih berhati-hati sebelum merancang atau melakukan sebarang aktiviti.
Mengambil contoh yang mudah seperti keinginan untuk makan di luar, mereka ditanya, adakah mereka bersedia untuk makan di luar sekiranya kerajaan manamatkan semua larangan berkaitan aktiviti itu.
Kajian itu menunjukkan, sejak Mei lalu hanya 12 peratus responden menyatakan kesediaan mereka untuk makan di luar.
Manakala 39 peratus lagi sanggup menunggu lebih daripada sebulan untuk sebelum mereka bersedia sepenuhnya untuk menjamu selera di luar.
Pada Jun, hanya 14 peratus responden sedia untuk makan di luar. atau peningkatan dua peratus daripada bulan Mei lalu.
Trend yang hampir sama juga dipamerkan melibatkan aktiviti-aktiviti lain termasuk menggunakan pengangkutan awam, menghantar kereta untuk dicuci atau diselenggara, senaman dan aktiviti luar atau di gim, bersiar di taman rekreasi atau taman permainan, perkhidmatan kecantikan, perhimpunan majlis kecil-kecilan, pusat hiburan dan melancong.
Kajian ini turut membantu para peniaga dalam melakukan unjuran prospek perniagaan mereka pada masa akan datang.
Sebagai contoh, mereka yang bersedia untuk makan di luar rata-ratanya adalah berumur 20 hingga 40 tahun.
Malah, majoriti daripada mereka merupakan individu yang sering melakukan aktiviti penstriman video.
Justeru, kajian ini membantu para peniaga untuk memahami sifat pengguna sekaligus melakukan promosi jualan dan kempen di media sosial secara penstriman video.